MENU

Sumber : Sinar Harian Online

Tarikh : 1 Januari 2015

Pautan : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/zikrulaikha-alya-dapat-sijil-lahir-1.346491

BACHOK - Seorang kanak-kanak yang tercicir persekolahan sejak dua tahun lalu, akibat ketiadaan sijil kelahiran bakal berdepan situasi lebih baik apabila sijil kelahirannya sudah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan dekat sini.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau amat bersyukur apabila kesulitan yang dihadapi Zikrulaikha Alya Ramli, 9, akhirnya berjaya diselesaikan selepas mendapat sijil kelahiran, baru-baru ini.

"Lepas dapat sijil kelahiran ini akan memudahkan Zikrulaikha Alya untuk memasuki persekolahan tahun depan. Saya akan uruskan agar dia dapat masuk sekolah berdekatan.

"Dia anak yang bijak, sayang kalau dibiarkan dia tercicir pelajaran seumur hidupnya. Saya harap dia dapat gunakan peluang ini untuk mengubah nasib keluarganya kelak," katanya ketika menyerahkan sijil kelahiran itu kepada Zikrulaikha Alya.

Hadir sama mengiringi beliau ialah Penghulu Mukim Kandis, Razali Yasok.

Ahmad Marzuk juga membawa kanak-kanak itu ke pusat membeli belah untuk membeli pakaian seragam sekolah baharu sebagai persiapan memasuki persekolahan 2015 ini.

Sebelum ini, kisah adik ini pernah disiarkan Sinar Harian pada 9 Disember lalu, yang terpaksa membantu neneknya, Mariam Ahmad, 81, mengutip botol dan tin terpakai di kawasan pembuangan sampah.

Dua tahun lalu, Zikrulaikha Alya pernah mendapat pendidikan di sekolah swasta atas tajaan sebuah NGO dari Kuala Lumpur, namun setelah bantuan itu tamat, dia terpaksa melupakan hasrat untuk bersekolah kerana ketiadaan sijil lahir akibat masalah perkahwinan dihadapi ibu bapanya.

Ibunya, Ramlah Che Ahmad, 47, pula menghidap penyakit dalam perut yang menyebabkan dia tidak dapat bekerja.

Sejak kisahnya disiarkan, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini.