MENU

Sumber : Sinar Harian Online

Tarikh : 15 Disember 2014

Pautan : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/veterinar-kelantan-ingin-tubuh-akademi-latih-beru-1.342054

BACHOK - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan bercadang menubuhkan sebuah akademi untuk melatih beruk memetik buah kelapa di Bachok pada tahun depan.

Pengarahnya, Dr Azri Adzhar berkata selain itu, beruk juga akan dilatih membuat kerja ringan dalam pembinaan bangunan dan mengadakan pertunjukkan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Bachok mempunyai banyak pokok kelapa selain produk pelancongan seperti kawasan pantai yang indah yang menjadi tumpuan pelancong, serta terdapat ramai jurulatih beruk yang berpengalaman, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 15 jurulatih beruk di Pejabat Veterinar Bachok di sini, hari ini.

Beliau berkata penubuhan akademi itu dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan jabatan kerajaan berkaitan.

Katanya beruk yang mendapat latihan di akademi itu boleh dihantar ke negeri lain untuk menjalankan tugas yang sama.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan Inovasi Fakulti Perubatan Veterinar UMK Prof Madya Dr Mohd Mokhtar Arshad berkata pihaknya akan melakukan penyelidikan terhadap pemakanan dan penyakit yang sering kali menyerang haiwan tersebut.

Beliau berkata pelajar universiti itu juga akan dapat mempelajari kaedah menjinakkan beruk daripada jurulatih berkenaan.    

Ghazali Awang, 60, berkata beliau mengambil upah melatih beruk memanjat danmemetik buah kelapa daripada pelbagai pihak sejak 40 tahun lepas dan sehingga kini berjaya melatih lebih 300 ekor beruk. - Bernama