MENU

Sumber : Sinar Harian Online

Tarikh : 21 Disember 2014

Pautan : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/sanggup-redah-banjir-waktu-malam-1.343529

BACHOK - Dianggarkan lebih 80 rumah sekitar Mahligai, Pelunggol, Alor Bakat dekat sini, yang terkepung air bah sejak beberapa hari lalu dikunjungi konvoi Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary.

Ahmad Marzuk berkata, walaupun dalam keadaan hujan dan hari malam, dia bersama pasukannya segera menghantarkan bantuan sewajarnya untuk keluarga terlibat.

“Bila dapat tahu mengenai kejadian ini, saya kumpulkan Pemuda Pas dan bekerjasama dengan unit operasi banjir untuk dapatkan data mengenai lokasi mangsa yang terkepung di rumah akibat banjir.

“Ramai yang tidak berpindah walaupun terputus hubungan disebabkan kawasan terbabit belum pada tahap perlu berpindah, dengan harapan air cepat surut," katanya.

Menurutnya, walaupun hari malam tetapi dia tetap memaklumkan kepada kumpulan operasi untuk turun padang ke Dun Jelawat bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

"Saya melawat pusat pemindahan mangsa banjir daerah Bachok di Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol yang menempatkan seramai 60 keluarga.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela yang membantu menguruskan semua mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan, terima kasih juga kepada pasukan sukarelawan dan Pemuda Pas Bachok yang membantu mengagihkan sumbangan kepada mangsa yang tidak berpindah di beberapa kampung terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, pusat pemindahan di SK Pak Badol ditutup sementara waktu apabila semua mangsa banjir terlibat dibenarkan pulang kelmarin.

Namun, pihak Pejabat Tanah dan Jajahan yang dihubungi memaklumkan, pihaknya akan tetap mengambil langkah berjaga-jaga apabila hujan turun semula, semalam.