MENU

Sumber : Sinar Harian Online

Tarikh : 15 September 2014

Pautan : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/rm50-000-bantu-petani-peniaga-1.317141

BERIS KUBUR BESAR - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM50,000 melibatkan  pelbagai peralatan untuk membantu golongan petani dan peniaga kecil di bawah Majlis Pembangunan Pertanian (MPPP) Bachok.

Setiausaha MPPP Bachok, Weldan Musa berkata, peruntukan itu diberikan kepada 62 penerima yang sebelum ini tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan.

Beliau berharap peruntukan itu dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran sebarang hasil yang diusahakan setiap penerima.

"MPPP hanya sebagai perantara untuk pastikan peniaga atau petani yang layak terima bantuan sewajarnya dengan apa diusahakan.

"Untuk petani kita berikan input pertanian, manakala bagi peniaga kecil kita berikan peralatan untuk kembangkan perniagaan mereka," katanya pada majlis penyampaian bantuan peralatan kecil dan pertanian di bawah MPPP Bachok di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bachok, dekat sini, kelmarin.

Majlis penyampaian dan perasmian disempurnakan Timbalan Pengerusi MPPP Bachok, Datuk Dr Ilias Husain. Hadir sama, Pengerusi PPK Bachok, Awang Daud.

Seorang penerima, Mustapa Che Noh, 58, berkata, bantuan plastik hitam untuk pelindung tanamannya itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos yang bakal ditanggung untuk sesi tanaman akan datang.

Mustapa menerima tiga gulung plastik yang bernilai kira-kira RM60 setiap satu mengikut harga pasaran.

"Sejak saya jadi petani pada usia muda lebih 40 tahun lalu, inilah kali pertama saya terima bantuan untuk tanaman.

"Alhamdulillah walaupun ia tidak mencukupi tetapi sekurang-kurangnya ia dapat menampung kos saya untuk beli plastik tanaman nanti. Biasanya saya perlukan 10 gulung plastik untuk tanaman sayur seluas 1.6 hektar," katanya yang mengusahakan pelbagai tanaman termasuk timun, cili dan tembikai.