MENU

Sumber : Sinar Harian Online

Tarikh : 20 Disember 2014

Pautan : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/penyu-ditemui-mati-terdampar-1.343273

BACHOK - Seekor penyu seberat kira-kira 150 kilogram ditemui mati terdampar di tepi pantai Kampung Daramain dekat sini, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pantai Damat, Nazri Mat Zin berkata, beliau hanya mendapat maklumat mengenai perkara itu selepas dimaklumkan penduduk.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima maklumat itu beliau segera ke pantai untuk melihat keadaan bangkai penyu itu.

"Mulanya saya ingatkan kes sama seperti penemuan awal tahun lalu, yang melibatkan seekor anak penyu ditemui nelayan di sini, namun ia penemuan terbaharu melibatkan bangkai induk penyu.

"Perkara seperti ini sepatutnya dimaklumkan lebih awal bagi memudahkan saya membuat laporan kepada Jabatan Perikanan," katanya.

Nazri berkata, mungkin penyu itu baru sahaja mati berdasarkan keadaannya yang masih berdarah di bahagian mulut dan tidak berbau busuk.

Beliau berkata, ini kali kedua penyu ditemui di pesisir pantai Kampung Daramain, kali pertama penyu ditemui terdampar di pantai Cherang Laut, Tawang, pada awal Januari lalu.

Manakala, seorang penduduk, Mohd Zamri Abdul Rashid, 39, berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu apabila dimaklumkan Nazri yang datang parkir kenderaan di depan rumahnya lewat petang kelmarin.

"Saya tinggal dekat sini dan jarak rumah hanya kira-kira 300 meter tapi tidak tahu pula ada penyu mati terdampar di pantai.

"Melihat kepada bangkai penyu ini ia mungkin baru sahaja mati. Ada kesan cedera pada badannya mungkin akibat tersangkut di pukat nelayan," katanya.

Difahamkan, jika bangkai penyu  itu dijumpai warga asing akan menjadi santapan mereka dengan membelah bangkai itu untuk mendapatkan daging dan telur di dalamnya.

Berdasarkan pemerhatian bangkai penyu itu berkemungkinan dari spesies penyu agar atau penyu hijau.

Penyu agar mempunyai cengkerang berwarna coklat tua atau kehitaman dan ia mampu membesar hingga satu meter dengan berat 135 hingga 270 kilogram.