MENU

BACHOK – Sebanyak 55 jenis iklan haram dikesan di sekitar daerah Bachok dalam operasi membanteras iklan haram yang dijalankan Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Kelantan bersama Majlis Daerah Bachok dekat sini tengah hari tadi.

Dalam operasi itu selama empat jam itu kebanyakan iklan yang diturunkan adalah berkaitan promosi pelbagai ubatan merawat penyakit kronik dan masalah seksual untuk kaum lelaki.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, tahun ini bermula episod kerjasama Cawangan Farmasi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) membanteras iklan yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Iklan Ubat, Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, iklan sedemikian dapat dilihat di sekitar persimpangan jalan, lampu isyarat, pokok di sekitar pentadbiran PBT.

“Kami sering kali mendapat aduan mengenai iklan perubatan yang tidak mendapat kelulusan di negeri ini. Semua iklan ubat perlu dikawal agar tidak mengelirukan pengguna dan mengelak tuntutan melampau.

“Adalah menjadi kesalahan jika mengambil bahagian dalam penyiaran iklan yang tidak diluluskan Lembaga Iklan Ubat, KKM di bawah Seksyen 4B, Akta Ubat (iklan dan penjualan) 1956 dan boleh dihukum di bawah seksyen 5 akta yang sama memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih 1 tahun atau keduanya sekali bagi kesalahan pertama.

"Ia juga memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduanya sekali bagi kesalahan berikutnya,” katanya ketika sidang media selepas operasi membanteras iklan haram di Gunong, di sini, hari ini.

Ahmad Razin berkata, tindakan penguatkuasaan yang pernah diambil sebelum ini terhadap pengiklanan di Kelantan ialah dua kes didakwa di mahkamah dengan jumlah denda RM2,100 pada 2014, dua kes didakwa dengan jumlah denda RM2,000 pada 2015 dan dua kes didakwa dengan jumlah denda RM2,000 dalam tempoh tiga bulan tahun ini.

 

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/55-jenis-iklan-haram-dikesan-di-sekitar-bachok-1.502418