MENU

BACHOK - Orang ramai yang membeli makanan di bazar Ramadan disaran memilih makanan bertutup yang sudah pasti lebih bersih bebas dari lalat dan debu persekitaran.

Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok (MDB), Norazmi Berahim berkata, pemantauan sentiasa dilakukan sepanjang Ramadan ini di sembilan lokasi di seluruh Bachok dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Bachok.

Beliau berkata, setakat ini tiada premis jualan makanan yang disita, namun ia tidak bererti peniaga boleh bersikap sambil lewa mengenai aspek kebersihan makanan.

“Makanan bersih perlu diambil berat melalui beberapa aspek iaitu penyediaan makanan, kebersihan peniaga, penjualan makanan yang bertutup dan sebagainya.

“Dalam masa sama pengguna juga perlu bijak memilih makanan iaitu utamakan yang bertutup kerana saya percaya ia lebih bersih dari dihinggapi lalat,” katanya selepas membuat tinjauan dan kempen kebersihan makanan di bazar Ramadan Jelawat, dekat sini.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Bachok, Dr Hasniza Abdullah; Setiausaha MDB, Muhammad Zaidi Mat Jusoh bersama lapan penguat kuasa MDB dan 20 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Bachok.

Bazar Ramadan Jelawat antara bazar yang mempunyai ramai peniaga iaitu 90 peniaga selain bazar Ramadan Beris Kubur Besar yang mempunyai 92 peniaga.

Dr Hasniza pula berkata, sepanjang Ramadan ini pihak Pejabat Kesihatan Bachok telah mengadakan beberapa pemeriksaan premis dan persampelan bazar Ramadan.

Menurutnya, dianggarkan 250 premis bazar makanan diperiksa melibatkan sembilan bazar Ramadan dari 12 Jun hingga 20 Jun.

“18 sampel makanan diambil mengikut jenis makanan untuk diuji parameter mikrobiologi dan kimia termasuk ayam sedia dimakan, ayam mentah, kurma, buah tin dan kismis. 350 peniaga juga diberikan nasihat individu di lokasi terlibat.

“Kami juga teruskan kempen ‘perhati dan pilih makanan bersih’ yang berdasarkan pemerhatian dan memilih makanan bertutup yang pasti lebih bersih. Selain itu kami juga mengedarkan risalah berkaitan keselamatan dan kualiti makanan kepada peniaga dan pengunjung bazar Ramadan,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Rosmaini Ab Razak, 30, berkata, dia telah berniaga di bazar Ramadan Jelawat sejak lima tahun lalu dan sentiasa menutup makanan dijualnya.

“Memang saya tutup makanan dijual kerana itu didikan yang diberikan ibu saya yang juga peniaga makanan sebelum ini. Ia penting untuk jaga aspek kebersihan makanan dari dihinggapi lalat atau debu,” katanya.

 

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/makanan-bertutup-lebih-bersih-1.536634