MENU

Sumber : Sinar Harian Online

Tarikh : 18 Disember 2014

Pautan : http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/baik-pulih-jalan-di-dun-jelawat-1.342725

BACHOK - Berikutan musim tengkujuh yang melanda sejak bulan lalu, banyak jalan kampung mengalami kerosakan, sekali gus menyebabkan kesukaran kepada pengguna.

Bertindak atas maklumat awam, Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok (PTJ) melalui Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir sudah melaksanakan beberapa kerja membaik pulih di Dun Jelawat.

Ia melibatkan enam jalan di Mukim Beris Lalang, enam jalan di Lubuk Tembesu, dan masing-masing satu jalan di Surau Bator, Seneng, Mahligai serta Serdang.

Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir berkata, semua masalah itu diajukan kepada PTJ Bachok untuk tindakan selanjutnya selepas mendapat maklum balas daripada penghulu dan orang ramai di kawasan terlibat.

Katanya, terdapat sesetengah jalan diturap sepenuhnya dan ada juga ditampal atau membatu sahaja mengikut keperluan.

“Seperti kita sedia maklum, bila tiba musim tengkujuh, masalah jalan rosak akan jadi masalah utama di negara ini. Ia bukan sahaja menyukarkan perjalanan tetapi juga melibatkan aspek keselamatan orang ramai terutama penunggang motosikal apabila waktu malam.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar apabila masalah ini mendapat perhatian kerajaan negeri melalui PTJ Bachok yang prihatin mengenai kerosakan jalan yang berlaku," katanya ketika melawat jalan berkenaan, dekat sini.

Justeru, beliau berterima kasih kepada Ketua Jajahan Bachok, Nor Azman Abdul Ghani dan Penolong Ketua Jajahan, Pembangunan Fizikal, Nik Mahmud Nik Jaffar kerana bertindak segera mengatasi masalah penduduk di Dun Jelawat.

Sementara itu, Penghulu Mukim Beris Lalang, Nik Suhaimi Che Hat turut bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak apabila enam jalan di bawah naungannya telah dibaiki.