MENU

Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang pelbagai lagenda dan cerita rakyat yang diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman mengenai Pantai Irama, sebuah pantai peranginan yang terletak di Jajahan Bachok iaitu kira-kira 35 kilometer dari bandar Kota Bharu, ibu Negeri Kelantan.

Kononnya pada zaman dahulu kala terdapat sebuah batu menyerupai seekor burung yang seakan-akan sedang terbang dari laut di tepi pantai sepanjang kira-kira 2 kilometer itu. Tempat di mana batu yang dikatakan wujud kini dikenali sebagai Kampung Tok Burong.Masyarakat dahulu kala di sini juga percaya mengenai cerita kononnya wujud sebuah kemudi emas yang timbul dipermukaan air di pantai itu bersama-sama seekor buaya putih.

Menurut cerita, buaya putih sakti itu telah mengambil seorang budak perempuan di situ untuk dijadikan anak angkatnya sehingga dewasa. Kerana sayangnya yang tidak terhingga, buaya putih itu sentiasa memberi berupa barang-barang kemas kepada budak perempuan itu.

Tempat di mana berasalnya cerita dongeng itu kini dikenali sebagai Kampung Seri Kemudi. Pantai Irama juga menyimpan sejarah pahit tanahair kerana menjadi salah satu tempat pendaratan utama tentera jepun di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Kedua dahulu dan kesan yang masih boleh dilihat ialah beberapa buah kubu tentera inggeris yang masih terdapat di situ.